Memaparkan catatan dengan label Gerabak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gerabak. Papar semua catatan

Ceritera

Ahad, 18 Mei 2014


       Alkisah tersebutlah sebuah ceritera..... Toyibbbb~~~~ Ok tak perlu mukadimah merapu bagai, kita terus kepada point utama.

     Kalau mengikut file word yang masih selamat aku simpan tu, idea asal cerita ini terhasil pada tahun 2008, lebih tepat lagi pada hari ke 15 bulan Mei. Masa tu tahun kedua aku belajar kat kolej di Ipoh. Idea cerita ini aku dapat, bila terbaca sebuah SMS yang tak-berapa-seram, pada tahun-tahun itu memang kerap kita terima cerita-cerita merapu-merepek dalam bentuk SMS, masa tu social media masih belum meluas empayarnya. Jadi aku olah atau aku imaginasikan idea yang pendek itu menjadi sebuah scene dalam filem atau lebih tepat, opening scene sebuah filem.

     Boleh dikatakan cerita ini adalah idea pertama aku yang pada masa itu nak diterjemahkan ke dalam sebuah filem pendek tapi oleh kerana banyak sebab yang menghalang, jadinya projek ini langsung tak dapat dilaksanakan sampailah aku habis belajar. Mengikut beberapa file word yang masih ada di dalam folder bersama file asal ini juga, nampaknya cerita ini telah diolah secara sambil lewa oleh aku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2012. Kenapa sambil lewa? sebab bahasa dan ayat/perkataan yang aku guna dan taipkan itu tersangatlah bahasa SMS!

     Idea cerita yang aku maksudkan itu diberi tajuk; DEJAVU. Tahun ini (2014) nampaknya aku terbuka semula folder cerita itu, setelah mendapat semangat baru atau mungkin ada saka terbaru datang berdamping dengan aku, supaya menyiapkan karya ceritera aku yang sudah terbengkalai sejak sekian lama ini. Al-kisahnya suatu malam, sedang aku duduk termenung depan teman pendamping setia aku iaitu Mappy kesayangan aku ni., entah dari mana datangnya, tiba-tiba ada semacam angin menyapa dan menghempas ke kepala otak aku, lantas tercetuslah idea untuk menulis sebuah cerita baru. (Hiperbola melampau bab angin tu. Aah pengaruh banyak tengok filem.) *Jujur*

     Maka ketika malam berangin yang penuh bersemangat itu, terhasillah sebuah cerita baru yang asalnya daripada sebuah cerpen spontan aku juga. Aku kembangkan cerpen itu supaya aku boleh mengarang cerita panjang atau bahasa saintifik yang kurang aku gemar gunakan - Novel. Ya, aku terasa nak bukukan cerpen itu yang ketika itu diberi tajuk (working title), GERABAK. Malam itu terciptalah 4 bab awal (draft) manuskrip baru; Gerabak, yang aku rancang mahu dihantar terus kepada sebuah syarikat penerbitan buku kegemaran aku. Tapi sebelum itu, aku berikan dulu kepada beberapa teman untuk menilai cerita aku yang tercipta dalam satu malam itu dan Alhamdulillah respon yang diterima agak baik. Ok cerita asal-usul idea Gerabak ini tak patut aku bagitahu kat dalam entry ini, sebenarnya aku mahu fokus kepada Dejavu. (Tapi cerita yang aku karang memang ada berkait sebenarnya.)

           Berbalik kepada Dejavu, nak dipendekkan cerita, entah macam mana, ada orang offer kepada aku untuk menulis buku (atau Novel), setelah dia mengetahui aku memang minat menulis. Aku langsung tak berasa yakin pada mulanya sebab aku rasa nak fokuskan kepada Gerabak je dulu, ya semangat aku memang tengah membuak-buak untuk menyiapkan naskhah baru itu. Manuskripnya pula telah aku hantarkan kepada publisher yang aku gemari itu, tapi masih belum mendapat keputusan. Bila difikirkan semula, daripada aku terus menunggu, lebih baik aku terima saja pelawaan projek novel daripada publisher baru itu. Maka, ketika itu Dejavu memang terus terlintas dalam benak fikiran untuk diketengah dan diselesaikan. Berbekalkan idea dan storyline baru tapi masih mengekalkan konsep asal cerita, aku olah supaya lebih menarik. Harapnyalah, menarik. Kot. Soal payment memang aku tak ambil kisah lagi, katanya ada royalty bagai tapi aku tak ambil peduli dulu, yang penting cerita aku ini dapat disiapkan. 

       Oh ya, sebenarnya Dejavu ini aku dah reserved-kan tempatnya supaya ianya muncul dalam cerita Gerabak, tapi nampaknya ia perlu dikembangkan dahulu ke dalam ceritanya sendiri. Kan aku kata tadi, cerita-cerita yang aku karang/cipta itu semuanya berkait. Cerita ni genre apa ya? Tengok poster dibawah ini, dan kau define sendirilah nak kategorikan cerita yang tengah aku usahakan ni dalam kategori apa. Boleh? Hehehe...
           


Déjà vu adalah sebuah frasa Perancis yang artinya secara harafiah adalah "pernah melihat" atau "pernah merasa". Maksudnya adalah mengalami sesuatu pengalaman yang dirasakan pernah dialami sebelumnya. (Kopi-pasta daripada Wikipedia.)


      Aku ada bagitahu idea/konsep cerita aku ni pada seseorang yang aku percaya, respon dia; "Dah macam filem plak!" Aah memang idea asalnya mahu dibuat filem pun kan, bukan feature film tapi filem pendek. Apa yang boleh aku bagitau lagi serba sedikit, konsep cerita ini aku bikin macam konsep seperti filem SEPI (2008), TALENTIME (2009), JANJI JONI (2005), BERBAGI SUAMI (2006), MAGNOLIA (1999), CRASH (2004), GO (1999) - Filem-filem ini menggunakan kaedah/konsep, di mana sesebuah cerita itu saling berhubungkait antara satu sama lain (melalui hubungan antara watak atau peritiwa yang berlaku) dan bergerak dalam waktu yang sama selepas atau sebelum sesuatu kejadian itu. Seingat aku buku yang pernah aku baca; INTERLOK (Abdullah Hussein), CEKIK (Ridhwan Saidi) pun guna konsep sebegini. Dalam Dejavu ni juga, ada watak yang terinspirasi daripada filem DONNIE DARKO (2001) dan A BEAUTIFUL MIND (2001).

     Siapa Azlan Johari? Dia seorang pengarah filem yang diberi tugasan untuk mengarah filem seram/thriller pertamanya. Oh dia adalah antara watak utama dalam Dejavu, sebenarnya. Watak fiksyen, rekaan sengaja oleh aku. 


KiTA:  Harapnya projek ini berjalan lancar dan aku dapat terus fokus dan bersemangat menyiapkannya. 

p/s: Ada kawan tanya aku, macam mana kau boleh tiba-tiba dapat tawaran menulis ni? betul ke bohong ke main-main ni? Aku jawab; Entahlah, tengoklah nanti, ada rezeki, betullah jadi. *Jawapan klise*

Pelangi

Isnin, 28 April 2014


CeritaPendek | "PELANGI"

----------------------------------------------------------------------





    Di hadapan berdekatan dengan tempat duduk aku tu, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan, yang sedang membelakangkan aku. Anak kecil itu melutut di atas kerusi manakala sikunya ditenggekkan pada bahagian antara atas penyadar kerusi yang bersambung dengan cermin tingkap, kedua telapak tangannya pula, menekup sisi pipinya yang mongel sekaligus menyokong dagunya. 

"Comel." Getus hatiku. 

   Leka budak itu memandang langit yang cerah. Merenung matahari barangkali. Sesekali sebelah tangannya diangkat, seperti mahu menangkap sesuatu, mahu menangkap burung yang berterbangan di luar tu agaknya. 

   Dulu masa aku kecil sebaya budak itu, tingkah aku lebih kurang begitu juga setiapkali menaiki kereta, suka memandang keluar tingkap. Kalau siang pandang langit tengok kepulan awan dan matahari, bila malam tengok bulan dan bintang. Seolah matahari dan bulan tu mengekori arah perjalanan kita. Aku bayangkan yang matahari dan bulan itu, ada kaki yang sangat panjang untuk mengejar kita, ke mana pun kita pergi. Imaginasi kanak-kanak. 

   Ibu budak perempuan itu duduk bersebelahannya. Seperti manusia lain didalam gerabak kereta api itu, dia sedang fokus memandang telefon yang kemas terpegang dalam telapak tangan kanannya, sesekali ibu jarinya pula bergerak menyentuh skrin telefon itu. 

   "Mama..." Lembut suara budak perempuan itu memecahkan kesunyian dalam gerabak ketika itu. Sebelah tangan menepuk-nepuk bahu ibunya.

   Telahan aku tepat, ibunya langsung tak mempedulikan panggilan anaknya itu. Budak itu kembali senyap, masih memandang ke luar tingkap dengan posisi sama seperti tadi.

    Rintik hujan mula singgah pada cermin tingkap itu. Gerimis mengundang. 

   "Mama... kenapa bila hujan, kita tak nampak matahari? Dia sembunyi kat mana? takut basah kena hujan ke?" Kali ini, budak perempuan itu dengan yakin menyapa mamanya dengan meletakkan kedua tangannya kepada muka mama, seraya menolehkan kepala mamanya itu ke arah cermin tingkap. 

  Telahan aku, yang mamanya akan marah, kurang tepat kali ini. Sambil tersenyum, mamanya menjawab soalan anaknya itu tadi.

   "Matahari ada je kat atas sana tu, mungkin sembunyi disebalik awan-awan gelap tu. Mungkin dia berehat kejap lepas penat bagi kita cahaya seharian. Nanti bila hujan dah reda sikit, dia keluar la balik. Kalau Ana bertuah dapat la tengok pelangi lepas tu..."

   Budak perempuan itu bersorak riang, dan menekupkan mukanya pada cermin seolah mahu bermain dengan titisan air hujan pada cermin tingkap itu pula. 

  "Ana nak tunggu pelangi keluar la!" Mamanya hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

   Apalah agaknya yang sedang dibayangkan budak itu ketika itu ya? Aku pula yang tersenyum, terhibur dengan keletah si kecil Ana tu.

    Selepas itu, bunyi guruh dilangit pun berdendang ria, berselang-seli dengan bunyi roda keretaapi bergesel dengan rel besi. Gerimis menjadi lebat. Cerah makin suram. Nampaknya mungkin matahari akan sembunyi lebih lama hari ini.

"Maaf dik, Abang rasa pelangi takkan muncul hari ini, teruslah berharap." 



----------------------------------------------------------------------

KiTA:  Last entry sebelum ni adalah pada bulan Disember tahun lepas. Terlalu banyak yang terjadi dalam hidup, terlalu banyak sangat waktu yang terluang tapi untuk singgah menaip disini nampaknya menjadi beban ketika itu. Terlalu banyak kata yang tak terluah walaupun dalam bentuk tulisan sekalipun.

*Ada sesuatu yang sedang aku usahakan sekarang dan berharap yang semua yang dilakukan ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan-Nya. InsyaAllah.