Penakut

Sabtu, 29 Disember 2012




CeritaPendek | "PENAKUT"
----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Pagi itu seperti kebiasaannya. Keadaan dalam bilik itu agak berserabut dan tentunya bau yang agak aku benci. Bau hamis ubat-ubatan. Aku cuba menahan nafas. Tapi tak boleh, sesak. Aku pandang sekeliling keadaan bilik itu. Kiri ke kanan. Kanan ke kiri. Atas dan bawah. Takde apa sangat yang berubah bila aku datang ke sini tiga hari lepas. "Pemalas punya Doktor!" - Sekadar membebel dalam hati. Aku tersenyum bila Akak Sofea masuk ke dalam bilik itu.

"Apa khabar hari ni? Rasa sihat sikit tak?" Jika ada benda yang aku suka tentang tempat itu, sudah tentunya Akak Sofea ada dalam senarai teratas. Dia tak macam Nurse yang lain yang buat kerja 'janji-buat', dia sangat prihatin dan ambil berat - Sifat yang selayaknya ada pada setiap Jururawat.

Beberapa ketika selepas itu, Doktor pun masuk. Rutin seperti biasa. Aku perlu berbaring atas katil keras yang agak tinggi tu. Disuruh tarik-hembus nafas dan lain-lain. Rutin yang aku benci nak bagitau apatah lagi nak lakukan setiap kali ke situ. 

"Jangan macam ni, Adik nak sembuh cepat kan?" Suara halus Akak Sofea memang membangkitkan semangat aku setiap kali bila dia sedar aku sudah mula bosan dengan rutin itu. 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------


"Esok pagi kita akan buat pembedahan tu, so mlm ni U kena puasa la k... Banyakkan bersabar dan bertenang, InsyaAllah semuanya akan ok..." - Doktor pesan dengan tenang tapi tidak setenang hati aku ni. Tangannya menepuk sebelah bahu aku. 

"Ok." - Berita 15 saat tadi agak sukar utk dihadam bagi aku yg baru 15 thn ni. 

"Adik jangan takut. Nak Akak call kan parent Adik tak?" - Akak Sofea cuba memujuk sambil dia mengiringi aku berjalan ke katil. Aku cuma menggeleng sebagai jawapan. Aku cuba bertenang. 

Uncle Man cuba untuk senyum saat aku melewati katilnya tapi aku tak mampu membalasnya, walaupun sekadar senyum tawar. Aku terus merebahkan badan aku ke tilam yang tak berapa empuk itu. Saat itu, rasa benci aku semakin membuak-buak tentang kesemua benda disekeliling. Katil dan tilam itu terutamanya, bau busuk ubat. Bunyi orang yang batuk tak berhenti-henti. Bunyi kipas di siling yang seperti mahu roboh. Semuanya. Dan yang paling aku benci adalah bunyi troli itu. Ianya berhenti ditempat aku. "Dik, jangan lupa makan ubat ni ye." 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Malam itu. Sunyi. Sepi. Bunyi cengkerik seolah memekik; "Habislah kau esok, Habislah kau esok..." - Aku cuba bertenang lagi. Selimut putih yang agak keras dan berbau ubat itu aku tarik sehingga meliputi seluruh tubuh. Aku mahu lelapkan mata. Tapi bunyi cengkerik itu seolah tak mahu berhenti. Bingit. 

Aku gapai telefon yang terletak dihujung kabinet kecil disebelah katil itu. Tekan. 'Contact List: Abah'. Terlihat jam di dinding, 12.05. Terus aku padamkan telefon. 

"Abah kerja malam ni, mungkin tak dapat datang. Angah ok kan? Anak Abah kuat kan?" Fikiran melayang ke petang tadi bila Abah menelefon aku. 

"Ya, takpe, orang paham. Orang ok je." Tak aku tak ok sebenarnya, tapi memikirkan jarak antara Hospital ini dengan rumah aku agak jauh, aku tak mahu susahkan mereka untuk datang menjenguk aku tiap-tiap hari. Aku pegang kata-kata mereka yang aku kena kuat tempuh semua ni. 

Bunyi cengkerik itu semakin kuat. Seakan menyalak mengejek aku. Aku pejamkan mata semahunya. Gelap.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------


"Angah...Angah...!" - Aku kenal benar suara itu. Arghhh mimpi je ni... Tapi suara itu semakin galak memanggil dan terasa bdn aku digoyangkan. Aku buka mata. Dan aku meraung sambil memeluknya erat.

"Takpe Mama dan Abah ada kat sini, jangan takut ye. Angah kata Angah kuat kan?!" 

Aku memandang wajah-wajah disebalik pelukan itu, ada Abah, Uncle Man dan Akak Sofea; "Akak tahu Adik tak dapat tidur, Uncle Man ni bagitau Adik tak mau makan, dia dengar Adik menangis tadi." 

"Mama, Angah takut! Esok..." Belum sempat aku habiskan kata-kata tu, Mama mencelah,
"Takpe, Mama teman ye malam ni... Dah jangan risau... Kalau nak sihat, tak boleh selalu macam ni tau..."

Aku hanya mengangguk sambil mengesat air mata. 

"Eh tu ape tu? Macam sedap je...?" Uncle Man memecahkan suasana, aku pandang Abah memegang sesuatu. 

"Owh... ni ha, Murtabak yang Angah suka. Tadi Nurse kata Angah tak mahu makan kan, jadi Abah belilah. Ni Abah beli yang kat kedai yang Angah suka tu..." Dia berkata sambil memandang sekilas tray makanan yang tak berusik di atas kabinet hujung katil itu. 

Aku melepaskan pelukan Mama, lantas terus turun dari katil dan menuju ke sinki. Basuh tangan. Mereka hanya memandang pelik. Mama mengambil plastik itu dan membukanya, Semerbak bau Murtabak mengisi ruang bilik Ward itu, hilang beberapa saat bau ubat. "Yes! Ini yang aku mahukan!"

Belum sempat aku suakan kepingan kecil Murtabak itu, Akak Sofea menjerit dan merampas pinggan itu. "Dah ambil bau je ye... Awak dah lupa ke?" 

"Eh apa plak ni Kak... tengah lapar ni!!" Aku geram dengan tindakannya itu. "Kalau iye pun nak, minta la elok-elok!"

Akak Sofea memandang Abah. Kemudian Mama. "Astaghfirullahalazim.... Sori Nurse, mmg kami terlupa tadi... kelam kabut bila awak call tadi memang tak fikir apa dah..." Mama bersuara.

Malang. Memang malang. Aku perlu berpuasa malam ni. Punah harapan. 

"Hahahahahaha kalau macam tu, biar aku je la yang habiskan Murtabak yang sedap tu. Budak, kau baik tidur je la ye... Hahaha..." Aku sudah terbayangkan yang aku nak cabutkan aje wayar kat mesin tepi katil orang tua tu jap lagi bila dia tidur. Biar terseksa dia nak bernafas! Tak padan dengan sakit. Dah la tua! - Aku mengomel dalam hati. Sambil Mama hanya tersenyum dan menyuruh aku baring untuk tidur.

Akak Sofea seraya berkata, "Uncle ni dah la, jangan nak menyakat budak tu lagi, kesian dia... Uncle pun dah lupa ke apa pesan Doktor? Tak boleh makan makanan berminyak sangat. So, Murtabak ni, saya je la yang habiskan ye... Hehehe..."

Mereka semua tergelak. Aku pun sama, dan aku menjeling maut Uncle Man. "Padan muka!" Hahahaha

Dan saat itu, aku tak lagi dengar bunyi bingit cengkerik. 

----------------------------------------------------------------------------------------------------------


KiTA:  Ayat klise "Jangan takut, mesti kuat. Nanti cepatlah sembuh" tu dah lali dan muak Aku dengar. Tapi sebenarnya ayat itulah yang membakar semangat untuk teruskan hidup. Dan ya, dulu aku sangat bencikan Hospital.