Bila...

Selasa, 28 Mei 2013

Bila wajahmu ku bayangkan. Terasa sayu, terasa rindu;

Bila kita rasa kita betul tapi sebenarnya kita salah. Lepas tu menyesal sebab tak dengar cakap Dia. "Kan aku dah kata!" - Dia menengking.

Bila kat Tesco, kita sibuk ambil paket nugget, kentang dan ayam goreng crispy Ayamas letak dalam troli. Dia buat muka masam, "Pergi cari Vitagen cepat!."

Bila first time ajar kita main boling, Dia tepis tangan kita sebab tak bagi guna bola boling baru Dia. Dia gelakkan kita sebab bola selalu lolos ke longkang. "Tengok orang pro main ni..."

Bila kita tergedik nak park kereta dlm garaj bila dah sampai rumah. "Jangan tekan minyak, main clutch dengan break je." - Memandang sambil tercegat dari depan pintu rumah.

Bila Dia bawa kereta dalam hujan, aircond rosak. Dia marah sebab kita lambat lap cermin depan yang berkabus.

Bila kita terdengar lagu yang kita suka kat radio dalam kereta, kita terus melalak-karaoke, Dia off radio tu. Tengok kita tarik muka, Dia on balik radio tu.

Bila kita tengah syok tgk TV. Dia suruh tutup TV, suruh kita masuk tidur sebab dah lewat malam. Pastu Dia pula on TV balik tengok sorang-sorang.

Bila keluar daripada masjid lepas Solat Jumaat, Dia saja suruh kita tarik motor keluar daripada parking.

Bila kita bagitau kita dapat no.1 dalam exam, Dia respon; "Nanti kita makan KFC!"

Bila kita buat salah, Dia meroyan marah siap dah ready nak hayun tali-pinggang-polis besar Dia tu, tengok kita nangis beriya Dia saje buat-buat nak pukul, tapi terkena kat tempat lain.

Bila kat pasar malam kita pilih 5 VCD, Dia bayar untuk 2 je.

Bila Dia paksa kita buat bekal air milo sebelum pergi kerja. Sudah pakai kasut, Dia rasa sikit - "Tawar betol!" - buka pintu dan terus gerak keluar.

Bila masa study dulu, tengah-tengah bulan tanpa kita minta, Dia call, "Dah masukkan duit."

Bila kita hampir patah kaki sebab excident motor, Dia sibuk carikan tongkat untuk kita senang berjalan.

Bila kita senyap-senyap masuk bilik, seluk kocek seluar Dia yang tergantung, nak ambil duit - "Ehem-ehem!" - Tak sedar Dia ada tengah tidur.

Bila karaoke je Dia suka nyanyi lagu Kopratasa - "Masihkah Kau Ingat" dan lagu D'lloyd - "Cinta Hampa" (lagu putus cinta dulu katanya). 

Bila time sesi ambil report book kat sekolah, Dia datang pakai uniform kerja Dia dan bertekak dengan guru kelas sebab lambat bagi turn kat Dia. 

Bila kita tunjuk keputusan exam paper pada Dia. - "Ehm... Ok la tu..." 

Bila kita balik rumah masa Aidilfitri tahun 2009, kita rasa pelik bila Dia sibuk nak belikan Mama mesin basuh baru, tilam baru, kerusi baru, meja baru.. semua Dia nak beli baru...

Bila Aidilfitri tahun tu juga la Dia yang beriya-iya paksa kami semua ambil gambar keluarga. - "Bila lagi nak ambil gambar sama-sama kan?!" 

Dan bila-bila-bila dan bila...,

--------------------------------------------------------------------

Bila sampai tarikh ini je dulu, kita akan peluk sambil cium pipi Dia; "Selamat Hari Jadi!" - Dia peluk balik erat pastu geselkan janggut halus Dia kat muka. "Isy Gelilah!" - kita jerit dan menepis, tapi Dia tersengih. Kita tahu Dia memang suka bergurau macam tu.

Sepatutnya pada tarikh ini tahun ni, umur Beliau adalah 56 tahun.

Bila kita tersedar yang kita sebenarnya sibuk dok play-back-the-old-film-reel dalam kepala otak kita sendiri. Bila wajah Dia kita bayangkan. 

Al-Fatihah. Semoga kau tenang disisi Sang Pencipta. :)

28 MEI 2013.
KiTA.