Pelangi

Isnin, 28 April 2014


CeritaPendek | "PELANGI"

----------------------------------------------------------------------





    Di hadapan berdekatan dengan tempat duduk aku tu, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan, yang sedang membelakangkan aku. Anak kecil itu melutut di atas kerusi manakala sikunya ditenggekkan pada bahagian antara atas penyadar kerusi yang bersambung dengan cermin tingkap, kedua telapak tangannya pula, menekup sisi pipinya yang mongel sekaligus menyokong dagunya. 

"Comel." Getus hatiku. 

   Leka budak itu memandang langit yang cerah. Merenung matahari barangkali. Sesekali sebelah tangannya diangkat, seperti mahu menangkap sesuatu, mahu menangkap burung yang berterbangan di luar tu agaknya. 

   Dulu masa aku kecil sebaya budak itu, tingkah aku lebih kurang begitu juga setiapkali menaiki kereta, suka memandang keluar tingkap. Kalau siang pandang langit tengok kepulan awan dan matahari, bila malam tengok bulan dan bintang. Seolah matahari dan bulan tu mengekori arah perjalanan kita. Aku bayangkan yang matahari dan bulan itu, ada kaki yang sangat panjang untuk mengejar kita, ke mana pun kita pergi. Imaginasi kanak-kanak. 

   Ibu budak perempuan itu duduk bersebelahannya. Seperti manusia lain didalam gerabak kereta api itu, dia sedang fokus memandang telefon yang kemas terpegang dalam telapak tangan kanannya, sesekali ibu jarinya pula bergerak menyentuh skrin telefon itu. 

   "Mama..." Lembut suara budak perempuan itu memecahkan kesunyian dalam gerabak ketika itu. Sebelah tangan menepuk-nepuk bahu ibunya.

   Telahan aku tepat, ibunya langsung tak mempedulikan panggilan anaknya itu. Budak itu kembali senyap, masih memandang ke luar tingkap dengan posisi sama seperti tadi.

    Rintik hujan mula singgah pada cermin tingkap itu. Gerimis mengundang. 

   "Mama... kenapa bila hujan, kita tak nampak matahari? Dia sembunyi kat mana? takut basah kena hujan ke?" Kali ini, budak perempuan itu dengan yakin menyapa mamanya dengan meletakkan kedua tangannya kepada muka mama, seraya menolehkan kepala mamanya itu ke arah cermin tingkap. 

  Telahan aku, yang mamanya akan marah, kurang tepat kali ini. Sambil tersenyum, mamanya menjawab soalan anaknya itu tadi.

   "Matahari ada je kat atas sana tu, mungkin sembunyi disebalik awan-awan gelap tu. Mungkin dia berehat kejap lepas penat bagi kita cahaya seharian. Nanti bila hujan dah reda sikit, dia keluar la balik. Kalau Ana bertuah dapat la tengok pelangi lepas tu..."

   Budak perempuan itu bersorak riang, dan menekupkan mukanya pada cermin seolah mahu bermain dengan titisan air hujan pada cermin tingkap itu pula. 

  "Ana nak tunggu pelangi keluar la!" Mamanya hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

   Apalah agaknya yang sedang dibayangkan budak itu ketika itu ya? Aku pula yang tersenyum, terhibur dengan keletah si kecil Ana tu.

    Selepas itu, bunyi guruh dilangit pun berdendang ria, berselang-seli dengan bunyi roda keretaapi bergesel dengan rel besi. Gerimis menjadi lebat. Cerah makin suram. Nampaknya mungkin matahari akan sembunyi lebih lama hari ini.

"Maaf dik, Abang rasa pelangi takkan muncul hari ini, teruslah berharap." 



----------------------------------------------------------------------

KiTA:  Last entry sebelum ni adalah pada bulan Disember tahun lepas. Terlalu banyak yang terjadi dalam hidup, terlalu banyak sangat waktu yang terluang tapi untuk singgah menaip disini nampaknya menjadi beban ketika itu. Terlalu banyak kata yang tak terluah walaupun dalam bentuk tulisan sekalipun.

*Ada sesuatu yang sedang aku usahakan sekarang dan berharap yang semua yang dilakukan ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan-Nya. InsyaAllah.