Rindu

Rabu, 28 Mei 2014


Ini adalah kopis-pasta daripada status Facebook aku, tentang Beliau yang aku Rindu.

---------------------------

        Program 999 TV3 malam itu buatkan aku teringat sesuatu;

5 tahun lepas, ketika terjadinya peristiwa itu aku bertanya, dalam kebingungan. "Kenapa nak kena letak bendera Malaysia plak kat situ?"

"Dia kan anggota. Perwira Negara. Dia pergi masa tengah bertugas kan?" Slumber Pakcik rakan setugas Beliau tu menjawab. Aku hanya menjawab 'Ooo' dalam hati. Kot. 

Bila kami anak-anak ni beriya tengok Gerak Khas, Beliau akan mula membebel; "Mana ada camtu mana ada camni..." Beliau cukup tak suka tengok drama tu, katanya kerja Dia bukan la camtu sangat pun, sebab dalam drama kena la nampak bagi elok. Kot. (Tapi Beliau tak pernah miss tgk 999.)

Teringat gak Beliau pernah ada pesan camni: "Nanti dah besar. Jangan jadi Polis."

dan aku tak ingat ada ke tak aku tanya kenapa Beliau cakap camtu, masa tu.

Masa sesi mesyuarat tingkap dulu-dlu aku pernah terdengar makcik-makcik tu tanya kat Mama; "Siapa la agaknya anak-anak kau akan jadi anggota nanti kan?"

Cepat-cepat aku balas. "Bukan aku!!!" dalam hati. Hahaha.

Aku bukanlah membenci dan aku takkan halang kalau ada antara adik-adik lain nak ikut jejak langkah Beliau. Rezeki Tuhan, siapa tahu kan?

Untuk Perwira Negara yang terkorban. Semoga tenang Kau di sana.
Al-Fatihah.

*TabikSpring*



---------------------------

        Ketika itu ada kenduri kahwin jiran kami dan khemah karaoke didirikan di depan rumah kami (bekas rumah kami sebenarnya di Sg. Buloh, sebelum kami berpindah ke Kelantan pada 2012). Dj memainkan lagu 'Pelangi Petang' - Sudirman. Hati yang tersedia sayu, bertambah pilu bila aku pandang Mama, matanya sudah pun bergenang. 

"Kejadahnya pakcik dj ni, sengaja je bukak lagu sedih!" Gumam ku perlahan.

Aku datang kepada Ma dan peluk erat badannya. Aku bisikkan; "Baca Al-Fatihah..." - Hati dah meruntun. Sebak.

"Woi pak cik, ni kenduri kahwin la, mainkan la lagu happy, boleh?!" - Jerit aku dalam hati. Aku pandang Ma, sisa air mata dikesat dengan kain tudungnya, sambil memandang rumah lama kami itu. Kenangan.

Hari ini (28 Mei 2014) sepatutnya ulangtahun kelahiran yang ke 57 Beliau, yang Mama dan kami rindu. Selamat Hari Lahir wahai Polis kesayangan kami. Semoga kau tenang di sana.

Buat anggota Polis yang terkorban ketika bertugas kelmarin itu juga serta buat Almarhum Sultan Azlan Shah, Sultan Perak yang telah mangkat. Al-Fatihah.

**Selepas lagu Pelangi Petang, pakcik Dj tu mainkan pula lagu Pelamin Anganku Musnah. #Hambar


----------------------------

KiTA: "Bila depan tak bisa bicara lidahku kaku, Jadi inilah hatiku didalam lagu..." 



Kerja

Rabu, 21 Mei 2014


Aku ingat lagi dulu masa mula-mula datang interview, bulan Mac 2011, terus Beliau tanya;

"Boleh buat poster filem hantu tak?!"

"Boleh kot..." - mendatar je aku jawab. Padahal dalam hati terketar-ketar. Tak percaya orang tu yang interview aku, konon excited la kan. Interview tak jadi macam interview biasa, dok sembang-sembang hal lain je. 

Bila Mama dapat tahu pasal aku dapat kerja ni, habis riuh digebangnya kat semua orang terutamanya geng Mesyuarat Tingkap dia. Lepas tu, mulalah diorang ni, sebok dok tanya kat aku hal gossip bagai. Ingat aku ni wartawan hiburan ke? Tak hadap la aku nak ambil tahu hal retis bagai ni kan. Nak aje aku bagi link blog-blog hiburan yang bersepah tu kan, tapi tu la makcik-makcik ni mana tau online. Hahaha Adoi...

Selama aku berkerja di situ, 10 poster (lebih kurang) karya yang tak seberapa, aku dah sumbangkan untuk company ni. 

Bila orang tanya, poster mana paling lawa, terus terang aku jawab sumpah semua tak lawa. Lebih kurang je kalau tengok hasil kerja poster-poster aku tu. Aku design artwork tu mengikut kehendak boss aku, bukan idea semuanya daripada aku, kiranya aku visualize-kan je la apa konsep yang boss aku mahukan. Tapi ada la a few films yang memang idea aku sendiri. 

Aku ingat lagi bila aku submit beberapa pilihan konsep/idea aku kat boss, boleh dikatakan semuanya tak kena. Ayat yang dia tempelak kat aku masa mula-mula kerja dulu; "Kau tak payah nak berseni sangatlah..." - sejak daripada itu aku mula sedar dan faham macam mana citarasa boss aku dan aku mula adapt apa sebenarnya yang dia mahukan.

Memang banyak sangat pengalaman yang aku dapat selama aku ada dekat company ni. Oh sebelum aku terlupa, aku rasa aku perlu bagitau ini. Bila dapat call untuk datang interview tu, mula-mula aku ingat ini company printing dan aku memang tak expect yang ini adalah sebuah company production film. Apatah lagi owner company ni adalah orang yang dikenali kat negara ni. Bila masuk je office tu aku mula hairan bila tengok muka boss aku tu, "Rasa macam kenal je dia ni...." dan orang itulah yang interview aku. 

Bercerita soal pengalaman, memang banyak. Benda baru tentang selok belok serta segala macam proses itu dan ini tentang industri ini dapat aku belajar serba sedikit. 

Antara yang paling manis bagi aku kenangan masa mula-mula kerja. Aku diberi job untuk handle publicity/promotional material untuk sebuah filem ni. Waktu tu boleh dikatakan semua staff baru kat situ, masing-masing terkial-kial buat kerja sebab belum familiar. Sampai kena tengking bagai dengan bos, padahal silap sikit je pun. Tapi bila kami dok sembang-sembang, teringat hal tu, memang masing-masing akan tergelak sebab macam kelakar je. Dan apa yang manis adalah projek itu berjaya! Paling bermakna juga bagi aku sebenarnya itu adalah projek poster pertama hasil kerja aku sendiri. Alhamdulillah.



Bila ada yang bertanya pada aku; "Macam mana kau boleh terjebak kerja kat situ?" -

"Rezeki." - Ringkas aku jawab.

Setelah lebih kurang 3 tahun berkhidmat di situ, sekarang sampai masanya untuk aku pergi. Kali ini yang betul-betul punya. Nekad, konon. Hahaha....

So, what's next? We'll see...

*Maaf, soalan pasal Negara Kangaroo malas nak layan. I'm trying my best to make my life happy while I can.



KiTA:  Alkesahnya, entry ini sepatutnya dikeluarkan pada bulan Februari hari tu (Waktu aku betul-betul dah berhenti kerja kat situ). Tapi...... dah ditakdirkan ianya nak keluar bulan ni. Dah nak buek camno kan? Tuhan penentu segala. :P

Ceritera

Ahad, 18 Mei 2014


       Alkisah tersebutlah sebuah ceritera..... Toyibbbb~~~~ Ok tak perlu mukadimah merapu bagai, kita terus kepada point utama.

     Kalau mengikut file word yang masih selamat aku simpan tu, idea asal cerita ini terhasil pada tahun 2008, lebih tepat lagi pada hari ke 15 bulan Mei. Masa tu tahun kedua aku belajar kat kolej di Ipoh. Idea cerita ini aku dapat, bila terbaca sebuah SMS yang tak-berapa-seram, pada tahun-tahun itu memang kerap kita terima cerita-cerita merapu-merepek dalam bentuk SMS, masa tu social media masih belum meluas empayarnya. Jadi aku olah atau aku imaginasikan idea yang pendek itu menjadi sebuah scene dalam filem atau lebih tepat, opening scene sebuah filem.

     Boleh dikatakan cerita ini adalah idea pertama aku yang pada masa itu nak diterjemahkan ke dalam sebuah filem pendek tapi oleh kerana banyak sebab yang menghalang, jadinya projek ini langsung tak dapat dilaksanakan sampailah aku habis belajar. Mengikut beberapa file word yang masih ada di dalam folder bersama file asal ini juga, nampaknya cerita ini telah diolah secara sambil lewa oleh aku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2012. Kenapa sambil lewa? sebab bahasa dan ayat/perkataan yang aku guna dan taipkan itu tersangatlah bahasa SMS!

     Idea cerita yang aku maksudkan itu diberi tajuk; DEJAVU. Tahun ini (2014) nampaknya aku terbuka semula folder cerita itu, setelah mendapat semangat baru atau mungkin ada saka terbaru datang berdamping dengan aku, supaya menyiapkan karya ceritera aku yang sudah terbengkalai sejak sekian lama ini. Al-kisahnya suatu malam, sedang aku duduk termenung depan teman pendamping setia aku iaitu Mappy kesayangan aku ni., entah dari mana datangnya, tiba-tiba ada semacam angin menyapa dan menghempas ke kepala otak aku, lantas tercetuslah idea untuk menulis sebuah cerita baru. (Hiperbola melampau bab angin tu. Aah pengaruh banyak tengok filem.) *Jujur*

     Maka ketika malam berangin yang penuh bersemangat itu, terhasillah sebuah cerita baru yang asalnya daripada sebuah cerpen spontan aku juga. Aku kembangkan cerpen itu supaya aku boleh mengarang cerita panjang atau bahasa saintifik yang kurang aku gemar gunakan - Novel. Ya, aku terasa nak bukukan cerpen itu yang ketika itu diberi tajuk (working title), GERABAK. Malam itu terciptalah 4 bab awal (draft) manuskrip baru; Gerabak, yang aku rancang mahu dihantar terus kepada sebuah syarikat penerbitan buku kegemaran aku. Tapi sebelum itu, aku berikan dulu kepada beberapa teman untuk menilai cerita aku yang tercipta dalam satu malam itu dan Alhamdulillah respon yang diterima agak baik. Ok cerita asal-usul idea Gerabak ini tak patut aku bagitahu kat dalam entry ini, sebenarnya aku mahu fokus kepada Dejavu. (Tapi cerita yang aku karang memang ada berkait sebenarnya.)

           Berbalik kepada Dejavu, nak dipendekkan cerita, entah macam mana, ada orang offer kepada aku untuk menulis buku (atau Novel), setelah dia mengetahui aku memang minat menulis. Aku langsung tak berasa yakin pada mulanya sebab aku rasa nak fokuskan kepada Gerabak je dulu, ya semangat aku memang tengah membuak-buak untuk menyiapkan naskhah baru itu. Manuskripnya pula telah aku hantarkan kepada publisher yang aku gemari itu, tapi masih belum mendapat keputusan. Bila difikirkan semula, daripada aku terus menunggu, lebih baik aku terima saja pelawaan projek novel daripada publisher baru itu. Maka, ketika itu Dejavu memang terus terlintas dalam benak fikiran untuk diketengah dan diselesaikan. Berbekalkan idea dan storyline baru tapi masih mengekalkan konsep asal cerita, aku olah supaya lebih menarik. Harapnyalah, menarik. Kot. Soal payment memang aku tak ambil kisah lagi, katanya ada royalty bagai tapi aku tak ambil peduli dulu, yang penting cerita aku ini dapat disiapkan. 

       Oh ya, sebenarnya Dejavu ini aku dah reserved-kan tempatnya supaya ianya muncul dalam cerita Gerabak, tapi nampaknya ia perlu dikembangkan dahulu ke dalam ceritanya sendiri. Kan aku kata tadi, cerita-cerita yang aku karang/cipta itu semuanya berkait. Cerita ni genre apa ya? Tengok poster dibawah ini, dan kau define sendirilah nak kategorikan cerita yang tengah aku usahakan ni dalam kategori apa. Boleh? Hehehe...
           


Déjà vu adalah sebuah frasa Perancis yang artinya secara harafiah adalah "pernah melihat" atau "pernah merasa". Maksudnya adalah mengalami sesuatu pengalaman yang dirasakan pernah dialami sebelumnya. (Kopi-pasta daripada Wikipedia.)


      Aku ada bagitahu idea/konsep cerita aku ni pada seseorang yang aku percaya, respon dia; "Dah macam filem plak!" Aah memang idea asalnya mahu dibuat filem pun kan, bukan feature film tapi filem pendek. Apa yang boleh aku bagitau lagi serba sedikit, konsep cerita ini aku bikin macam konsep seperti filem SEPI (2008), TALENTIME (2009), JANJI JONI (2005), BERBAGI SUAMI (2006), MAGNOLIA (1999), CRASH (2004), GO (1999) - Filem-filem ini menggunakan kaedah/konsep, di mana sesebuah cerita itu saling berhubungkait antara satu sama lain (melalui hubungan antara watak atau peritiwa yang berlaku) dan bergerak dalam waktu yang sama selepas atau sebelum sesuatu kejadian itu. Seingat aku buku yang pernah aku baca; INTERLOK (Abdullah Hussein), CEKIK (Ridhwan Saidi) pun guna konsep sebegini. Dalam Dejavu ni juga, ada watak yang terinspirasi daripada filem DONNIE DARKO (2001) dan A BEAUTIFUL MIND (2001).

     Siapa Azlan Johari? Dia seorang pengarah filem yang diberi tugasan untuk mengarah filem seram/thriller pertamanya. Oh dia adalah antara watak utama dalam Dejavu, sebenarnya. Watak fiksyen, rekaan sengaja oleh aku. 


KiTA:  Harapnya projek ini berjalan lancar dan aku dapat terus fokus dan bersemangat menyiapkannya. 

p/s: Ada kawan tanya aku, macam mana kau boleh tiba-tiba dapat tawaran menulis ni? betul ke bohong ke main-main ni? Aku jawab; Entahlah, tengoklah nanti, ada rezeki, betullah jadi. *Jawapan klise*