Cekodok

Ahad, 23 November 2014


CeritaPendek | "CEKODOK"

----------------------------------------------------------------------




"Esok saya takde, so kita postpone appointment awak tu next week ya?" Dr. Kuppu memberitahu sambil tangannya menari-nari dengan pen, menulis sesuatu. Report barangkali. Dia tulis dalam bahasa tamil kot, berkerawang bagai tulisan tu, langsung tak dapat dibacanya. Malang betul siapa yang kena baca report tu nanti.

"Doctor lain takde ke? lama betol nak tunggu next week. Pastu nak tunggu result tu... berkurun plak!" Iz bercakap sambil memandang Kak Timah. Muka Kak Timah menyinga, sambil digeleng-gelengkan kepalanya laju-laju.

Dahi Dr. Kuppu berkerut, Iz perasan yang tangan doktor yang agak berusia itu terhenti menulis, adalah dalam setengah saat kot. Tersentak la tu. Iz memang dah sedia maklum, hanya Dr. Kuppu sajalah doktor pakar kat department ni. Dia juga sedia maklum yang dia memang tiada pilihan lain selain perlu akur kehendak dan arahan doktor tu. Walaupun dia terpaksa menunggu giliran yang lama. Iz sebenarnya risau, dia sedia maklum juga, masa memang takkan berpihak kepadanya. 

"Berapa lama lagi aku nak kena duduk kat sini?!" Dia berperang sendiri dalam hati.

Budak lelaki itu keluar daripada bilik Dr Kuppu dengan langkah yang malas menuju guanya. Aah, gua, macam gua kelawar tu. Tempat dia bertapa selama lebih hampir empat bulan. Kak Timah mengekori daripada belakang sambil menolak kerusi roda. Jururawat itu tahu, budak mengada tu memang tak suka naik kerusi roda, tapi sebagai langkah berjaga-jaga. "Kena selalu tengokkan budak tu." - Pesan ketuanya dipegang, takut perkara buruk terjadi. Dia tahu yang budak tu berlagak je kuat pada luarannya tapi dalamannya tidak. Dia hanya mengekori langkah Iz dari belakang, diperhatikan langkah budak lelaki itu perlahan-lahan. "Kuat semangat ye Iz!" 

Sampai depan bilik, Iz melulu masuk dan pintu terus ditutup rapat dan punat pada tombol pintu itu ditekan. Dia bersandar dibelakang pintu sampailah;

Tok. tok. Bunyi ketukan. 

"Kenapa kunci plak ni?! Jangan buat perangai lagi la Iz!" Suara Kak Timah bila marah memang kelakar. Bingit. Pitching tinggi btoi. Kalau masok AF ke Mentor ke mesti tak lepas. Kalau lepas pun, first week mesti dah out punya. Pastu kena cerca dengan penonton, siap kena bash bagai dan ada yang sampai buat fanpage 'Timah Suara Pitching Off' dengan hashtag #TimahOut. Ok imaginasi lebih-lebih pulak. Hahaha...

Pintu itu dibuka, Iz mengalah. Sengaja mengalah. Dia terus melompat ke katil, baring dan menarik selimut, bantal pula ditekup ke mukanya. 

"Astaghfirullahalazim! Kamu ni sengaja nak buat akak marah kan?!" Suara pitching lagi tinggi, sambil merampas bantal pada muka Iz tu dan di letakkan bantal itu ke tepi. Iz hanya tergelak. Gelak sakan.

"Hahahahahaha....." Ni gila-gila punya gelak ni, macam tengok lawak Harith Iskander masa perform kat Lawak Ke Der dulu. Melihatkan muka masam Kak Timah itu memang boleh bikin urat ketawa dia terjentik dan makin menggila. 

Tiba-tiba dia senyap. Ketawanya berhenti. Tunduk kepala. Jari-jemari tangannya di silangkan, digosok-gosok seperti biasa yang dilakukannya kalau dia resah. Kak Timah pula berjalan ke arah tingkap, langsir di selak, membiarkan cahaya mentari masuk ke ruang kelam bilik itu. 

"Keluarga akak macam mana? Mak ayah akak sihat?" Mendatar suara Iz bertanya. Matanya yang sepet itu terkebil berkerut terkejut disimbah sinaran matahari pagi itu. Baru pukul 10 lebih tapi dah terik.

"Kenapa tiba-tiba je tanya soalan tu?" Kak Timah pelik.

"Random." Eloklah tu kak, orang tanya dia tanya kita balik. heh.

Kak Timah senyap. Jug di atas kabinet berhampiran tingkap itu diambil. Air kosong dituang dalam gelas dan di bawa menuju ke katil Iz. Soalan tadi sengaja dibiarkan tak berjawab.

"Nah habiskan tu, Akak banyak kerja ni. Penat layan kau tahu?" Gelas air itu dihulurkan kepada Iz sambil mulutnya dijuih ke arah piring berisi beberapa biji pil di atas meja kopi sebelah katil tu, sebelum dia bergegas keluar. 

"Kejap kak! petang nanti nak makan cekodok macam semalam tu lagi boleh?" Macam peluru, laju dan lantang si Iz bercakap. Terhenti kejap langkah Kak Timah.

"Akak shift sampai tengahari je hari ni. Tengok la camne nanti." Senyum segaris dan dia terus keluar daripada bilik itu. Pintu ditutup. Kak Timah teringat pesan Dr. Kuppu, supaya dikurangkan makanan berminyak untuk menu diet makanan Iskandar.

----------------------------------------------------------------------

Pukul 5 petang. Troli makanan minum petang menjengah ke dalam bilik Iz. Bubur kacang lagi. Bau dari pintu sudah dapat dihidunya.
"Kenapa tak habiskan nasi makan tengahari tu? Kenyang tak? Takpe Abang bagi lebih bubur ni ye. Habiskan tau!" Abang Azri, baik seperti selalunya. Walaupun dia tau yang Iz tak habiskan makanan yang selalu dibawanya itu, dia tak pernah marah.
Pinggan nasi tengahari itu dibawa keluar bersama troli makanan petang. Iz membisu tanpa reaksi. Buku berwarna biru yang sedang dibacanya itu diletakkan ke sebelah bantal, dia mahu tidur. Bubur kacang itu dibiarkan terkulai atas meja makan. Biar semut ke lalat ke yang jamah nanti, rezeki diorang.
"Makanan kat wad ni tak sedap kan? Abang faham, orang macam kamu ni selera memang tak menentu. Takpe." Bayangan Iz, jawapan itu yang akan diberikan Abang Azri bila tengok makanan yang tak berjamah tu. Begitulah Abang Azri, baik seperti selalunya.
Beberapa minit selepas itu, pintu bilik itu dibuka lagi, Iz malas menoleh, malas nak layan. Biarkan. Sengaja mata dipejam rapat, dia mahu lelap, tiba-tiba rasa mengantuk. Tapi, ada sesuatu yang menerjah rongga hidungnya pula. Matanya tewas.
"Cekodok Pisang!!!" Rasa ngantuk terus hilang lepas terbau makanan itu.
"Woi!!! Kau ni kan, bikin aku terperanjat je la!" Abang Azri menjerkah. Iz hanya tersengih sipu. Sambil tangannya merayap mencapai bungkusan beg plastik merah atas meja tu. Terus disuapnya sebiji cekodok ke dalam mulut.
"Thanks bang! Nak air panas sekali boleh?!" Bercakap dengan cekodok penuh dalam mulut, kalau Nenek ada sekarang ni mau dah kena piat telinga dia tu.
Abang Azri tersenyum. "Kak Timah pesan kat abang tadi. Terlupa plak nak bagi kat kamu masa bagi bubur tu tadi." Dia bercakap sambil menuju keluar. Iz hanya mengangguk sambil sebiji lagi cekodok disuap ke dalam mulut. Lahap.
Tak lama lepas tu, Abang Azri masuk semula bersama dua gelas ditangannya. "Kopi, teh dah habis. Abang buat Milo ni, kamu suka kan?" Gelas itu diletakkan di atas meja, sambil dia duduk menghadap budak lelaki yang sedang bersila sambil galak mengunyah cekodok di atas katil itu.
Pinggan bubur kacang tadi dicapainya. "Biar abang habiskan yang ni la ek. Sayang kalau nak buang. Kesian bubur ni."
Sambil tersenyum, Iz menghirup air Milo itu dan sebiji lagi cekodok disuap ke dalam mulutnya. Petang itu, dia rasa bahagia dilayan sebegitu oleh Kak Timah dan Abang Azri, seperti selalunya.

"There're time when stranger are like family..." Tweet Iz petang itu. Kopi-pasta haram, quote daripada buku biru yang dibacanya tadi.